Oct 07, 2022 - FASPasukan Selangor FC akan meneruskan baki tiga perlawanan Liga Super 2022 dengan menentang PJ City FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada jam 8:15 malam ini.
Menurut Tan Cheng Hoe, pasukan maklum dengan kelebihan pihak lawan dan bersedia menghadapi mereka.
"Saya melihat pemain senior dan muda mempunyai semangat berpasukan yang sangat baik. Kesatuan mereka membawa keharmonian dalam pasukan.
PJ City bermain memperoleh keputusan yang baik dalam perlawanan mereka baru-baru ini dan kami sedia maklum dengan perkara ini. Pasukan telah mempersiapkan diri untuk menghadapi mereka dan pastinya perlu mendapatkan keputusan yang baik pada malam ini," kata Tan Cheng Hoe.
Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan Liga Super hari ini, pasukan Selangor FC masih belum dapat menurunkan Safuwan Baharudin yang masih dalam proses pemulihan akibat daripada kecederaan ‘mild traumatic brain injury’, manakala Halim Saari yang masih lagi dalam proses pemulihan penuh daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Selain itu, Gergasi Merah terpaksa melupakan khidmat Shahrel Fikri kerana beliau mengalami demam baru-baru ini serta Richmond Ankrah yang cedera di bahagian keting kakinya.
Walau bagaimanapun, penyokong boleh bersorak gembira dengan kembalinya Syahir Bashah, pemain muda yang mampu memberi impak tinggi semasa beraksi dalam barisan pemain pada malam ini.
Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan. Teruskan perjuangan, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!